TERKINI: “Saya takkan hadir himpunan ICERD jika ada agenda politik” – Presiden PERKASA

TERKINI: “Saya takkan hadir himpunan ICERD jika ada agenda politik” – Presiden PERKASA

SHAH ALAM – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) tidak akan hadir ke perhimpunan besar-besaran membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) pada 8 Disember ini.

Menurut Presidennya, Datuk Paduka Ibrahim Ali, perhimpunan anjuran UMNO dan Pas itu lebih kepada bersifat politik dan kepentingan parti, bukan betul-betul mahu membela orang Melayu, umat Islam dan kaum Bumiputera.

“Perkasa akan mengadakan konvensyen pada 2 Disember ini. Majlis Dewan Tertinggi akan berbincang mengenai jemputan ke perhimpunan membantah ICERD pada 8 Disember.

“Sekiranya pihak penganjur iaitu Pas dan UMNO membawa bendera parti dan orang ramai yang hadir itu memakai baju parti, kita tidak akan hadir, sebab kita tahu perhimpunan ini adalah agenda politik.

“Sekiranya pihak penganjur adalah pertubuhan atau badan bukan kerajaan (NGO) yang tidak ada orang politik di belakangnya, kita akan hadir membantah cadangan meratifikasi ICERD oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai Himpunan Bantah dan Moratorium akta Hasutan 1948 anjuran Perkasa Selangor di luar pekarangan Masjid Ara Damansara dekat sini hari ini.

Turut berucap, Pengerusi Perkasa Selangor, Borhan Zakaria dan kira-kira 500 hadir pada program itu termasuk sekumpulan lebih 10 anggota polis mengawal perhimpunan itu.

Menurut Ibrahim, beliau kesal dan kecewa dengan kerajaan hari ini seolah tidak mempedulikan permasalah yang melanda orang Melayu dengan pelbagai isu, termasuk yang terkini adalah cadangan meratifikasi ICERD oleh menteri bukan Islam.

Katanya, untuk memberi kesedaran kepada kerajaan PH supaya mereka tidak boleh memperkotak katikan orang Melayu, bangsa itu bersama umat Islam, Bumiputera dan rakyat yang prihatin kepada perkara asas Perlembagaan Persekutuan harus bersatu membantah ICERD.

“Ayuh, saya seru semua pihak ketepikan ideologi politik untuk bersama dengan Perkasa membantah ICERD.

“Manakala kepada parti politik yang menentang ICERD pula jangan perbesarkan parti dahulu. Mereka harus mengutamakan bangsa Melayu, agama Islam dan negara ini,” katanya.

Hendak mengadakan perhimpunan membantah ICERD, boleh, tetapi jangan sekali-kali bawa bendera politik untuk tunjukkan kesatuan.

Ini kerana tindakan itu memberi persepsi kepada rakyat bahawa pihak penganjur mempunyai agenda politik dan matlamat perhimpunan tidak akan tercapai. – MalaysiaGazette

MalaysiaGazette.com – Online News / Portal – Follow US Now! Or visit www.malaysiagazette.com for the latest news on politics, economy, fashion, travel, lifestyle and more www.malaysiagazette.com

Related Post: