Peningkatan FDI bukti M'sia ada harapan cerah untuk tingkatkan ekonomi

Peningkatan FDI bukti M'sia ada harapan cerah untuk tingkatkan ekonomi

Peningkatan pelaburan langsung asing (FDI) pada suku pertama tahun ini membuktikan bahawa Malaysia mempunyai harapan yang cerah untuk meningkatkan ekonominya, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata Malaysia telah menunjukkan prospek pertumbuhan yang memberansangkan setelah berjaya menarik keyakinan pelabur asing.

Pada suku pertama 2019, Malaysia mencatatkan FDI yang diluluskan dalam semua sektor sebanyak RM29.3 bilion, atau peningkatan 73.4 peratus berbanding RM16.9 bilion yang dicatatkan tahun sebelumnya.

Peningkatan sebanyak 73.4 peratus itu disumbangkan oleh peningkatan pelaburan yang ketara sebanyak 127 peratus dalam sektor pembuatan kepada RM20.2 bilion daripada RM8.9 bilion pada tahun lepas.

“Malaysia merupakan destinasi selamat berdasarkan daya saing negara,” kata Lim.

Dalam rantaian bekalan global, Laporan Menjalankan Perniagaan Bank Dunia 2019, Malaysia menduduki tempat ke-15 daripada 190 negara sebagai tempat yang paling mudah menjalankan perniagaan.

“Pada 2018, Malaysia menduduki tempat ke-24. Ini suatu pencapaian yang membanggakan dan kerajaan akan terus memudahkan proses serta kos menjalankan peniagaan, yang secara langsung meningkatkan daya saing ekonomi Malaysia, katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman antara EcoWorld Development Group Bhd dan syarikat Fortune 500 Global, PowerChina Group.

Memorandun itu bermatlamat membolehkan kedua-duasyarikat bersama-sama membida projek-projek infrasturuktur di Malaysia.

Lim berkata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri meminta kerenah birokrasi dalam kawal aturan dan permohonan pelaburan dikurangkan bagi menyegerakan proses kelulusan.

Menteri Kewangan itu berkata sebagai sebuah negara yang berkecuali daripada perbalahan antara Amerika Syarikat (AS) dan China, Malaysia perlu mengambil kesempatan untuk menjadi pusat atau lokasi pelaburan asing.

Malaysia juga akan turut menjadi destinasi pelaburan bagi kedua-dua kuasa ekonomi besar itu, katanya.

Katanya daripada RM20.2 bilion FDI yang diluluskan (pada suku pertama 2019), RM11.5 bilion disumbangkan Amerika Syarikat, RM4.4 bilion dari China dan RM2.2 bilion dari Singapura.

“Malaysia juga harus menunjukkan kita mempunyai syarat yang dapat menarik perhatian pelabur serta memberikan kelebihan dan juga peluang kepada mereka,” katanya. – Bernama

Related Post:

Tags: