‘Mustahil ada rompakan'

‘Mustahil ada rompakan'

Bekas perdana menteri Najib Razak meluahkan rasa “terbela” dengan laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang dibentang semalam terhadap tuduhan berlaku rompakan terhadap hasil cukai barang dan perkhidmatan (GST) semasa pentadbiranya.

Katanya, laporan tersebut menunjukkan bahawa “mustahil sama sekali” berlakunya penyelewengan dalam caranya mengendalikan kutipan GST semasa menjadi Perdana Menteri.

“Saya rasa terbelalah dengan laporan PAC bahawa tidak berlaku sebarang perompakan mahupun sebarang penyelewengan dalam kutipan GST.

“[…] Jadi, mustahil. Mustahil ada penyelengan, mustahil ada perompakan. Sama sekali!” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

PAC menyiasat dakwaan Menteri Kewangan Lim Guang Eng pada Ogos tahun lalu bahawa kerajaan BN bawah Najib “merompak” bayaran balik GST.

Ini susulan tunggakan bayaran balik GST sebanyak RM19.4 bilion setakat 31 Mei 2018, dan Akaun Amanah Bayaran Balik GST hanya mengandungi RM150 juta.

Laporan PAC semalam memperincikan bahawa kutipan GST tidak hilang, tetapi tidak disalurkan ke dalam Tabung Bayaran Balik GST, sebaliknya dimasukkan terus ke Akaun Hasil Disatukan kerajaan persekutusan dan digunakan untuk perbelanjaan lain.

Dalam surat kepada Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) Oktober lalu, Peguam Negara Tommy Thomas berkata perkara itu melanggar Seksyen 7 Akta Tatacara Kewangan 1957 dan Seksyen 54 Akta Barangan dan Perkhidmatan 2014.

PAC dalam laporannya mengesahkan bahawa terdapat ketidakpatuhan dalam bayaran balik GST:

“Adalah amat jelas, Akta GST telah dilanggar seperti yang dimaklumkan oleh Peguam Negara kepada pihak PAC. Akta GST memerlukan kutipan GST dimasukkan ke dalam Akaun Bayaran Balik GST bagi membolehkan bayaran balik GST dibuat dalam masa 14 hari bekerja. Akan tetapi, ini telah gagal dilakukan seperti yang diperuntukkan oleh Akta GST. Sebaliknya, kutipan GST telah dimasukkan terus ke dalam Akaun Hasil Disatukan.”

Mengulas mengenai hal itu, Najib mengulangi kenyatannya semalam bahawa tindakannya itu dilakukan berdasarkan nasihat akauntan negara serta pegawai-pegawai daripada kementerian kewangan (ketika itu).

Katanya, cara tersebut merupakan cara yang sesuai untuk mengendalikan kutipan GST kerana jumlah tuntutan bayaran balik adalah, menurutnya, “tidak diketahui”.

“Duit itu masuk dalam akaun disatukan dulu, sepenuhnya. Daripada situ, barulah kita agih untuk bayaran balik GST, sebab bayaran balik GST ini jumlahnya tidak diketahui – dia bergantung kepada kesahihan tuntutan dan sebagainya. Ada proses.

“Dalam pada itu, duit yang masuk itu, kita gunakan (dulu) untuk urusan pentadbiran seperti kos pentadbiran kerajaan, perkhidmatan rakyat dan juga pembangunan.

“Jadi ini adalah kaedah yang amat sesuai. Ini juga yang dilakukan oleh negara seperti Singapura,” katanya lagi.

Related Post:

Tags: