Belum ada penyelesaian untuk pulihkan Malaysia Airlines

Belum ada penyelesaian untuk pulihkan Malaysia Airlines

Kerajaan masih belum membuat keputusan mengenai nasib Malaysia Airlines yang bermasalah memandangkan masih belum ada penyelesaian yang boleh dilaksanakan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata kerugian dan pengurusan syarikat penerbangan kebangsaan itu ‘sangat teruk’ dan sukar untuk memulihkannya.

“Semuanya memberitahu saya kita perlu melakukannya ikut cara ini atau cara lain. Namun, belum ada yang tampil dengan jalan penyelesaian yang benar-benar boleh berjaya,” katanya pada sidang akhbar sempena ulang tahun pertama kerajaan Pakatan Harapan, di sini hari ini.

Dr Mahathir berkata kerajaan terdahulu telah menyuntik RM6 bilion, dan syarikat penerbangan itu menamatkan perkhidmatan 6,000 pekerja dan mengurangkan laluannya.

Beliau berkata industri penerbangan kini sangat kompetitif dan banyak syarikat penerbangan sudah dijual.

“Sukar untuk bersaing susulan kemunculan syarikat penerbangan tambang rendah dan juga syarikat penerbangan Arab yang menyediakan kemudahan mewah dan pelbagai imbuhan lain.

“Saya tidak tahu bagaimana mereka membuat keuntungan, namun tiada yang dapat mencabarnya. Ia merupakan perniagaan yang sangat sukar sekarang,” katanya. – Bernama

Related Post:

Tags: