M'sia, Singapura setuju cari penyelesaian isu perjanjian air

M'sia, Singapura setuju cari penyelesaian isu perjanjian air

Malaysia dan Singapura bersetuju untuk mencari penyelesaian secara damai berhubung perjanjian air termasuk kemungkinan menyelesaikan pertikaian menerusi timbang tara atas dasar persetujuan bersama, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perjanjian air adalah antara isu yang dibincangkan Dr Mahathir dengan rakan sejawatan beliau dari Singapura, Lee Hsien Loong semasa Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura ke-9 di sini hari ini.

Malaysia dan Singapura terikat di bawah Perjanjian Air Sungai Johor 1962. Bagi Malaysia, menyelesaikan isu yang lama tertangguh berkaitan semakan semula harga air merupakan satu keutamaan.

Dr Mahathir berkata demikian pada sidang media selepas pemukiman itu.

Isu berhubung perjanjian air antara kedua-dua negara kembali menjadi topik panas pada pertengahan tahun lepas apabila Dr Mahathir berkata harga air mentah yang dijual kepada Singapura tidak munasabah dan beliau bercadang untuk merundingkan semula terma perjanjian.

Perjanjian itu, yang berakhir pada 2061, memberi hak kepada Singapura untuk mengeluarkan 250 juta gelen sehari (mgd) air mentah dari Sungai Johor pada kadar tiga sen bagi setiap 1,000 gelen.

Johor kemudian membeli semula air terawat daripada republik itu pada kadar 50 sen bagi setiap 1,000 gelen.

Lee, sementara itu, berkata menjadi matlamat kedua-dua negara untuk bekerjasama dalam memastikan bekalan air yang lestari kepada kedua-dua pihak, yang akan mengurangkan kemungkinan timbulnya konflik di masa depan.

Beliau bagaimanapun membangkitkan kebimbangan Singapura berhubung pencemaran air di sungai Johor baru-baru ini dan kesan jangka panjangnya.

Menurut Lee, baru minggu lepas, kerja air oleh Lembaga Perbekalan Awam (PUB) Singapura di Kota Tinggi terpaksa ditutup disebabkan paras amonia yang tinggi dan sumber itu dikesan berpunca daripada kilang minyak sawit di Sedenak, Johor.

Beliau berkata jika sungai Johor mengalami insiden seperti yang berlaku di Sungai Kim Kim baru-baru ini, ia “akan menjadi satu bencana”.

Dilaporkan bahawa beribu-ribu orang terpaksa dirawat hospital susulan kes pencemaran di Sungai Kim Kim yang berlaku awal bulan lepas.

Lee berkata sungguhpun Singapura berpendapat Malaysia telah kehilangan haknya untuk menyemak semula harga di bawah perjanjian itu, tetapi kedua-dua pemimpin bersetuju bahawa Peguam Negara (AG) masing-masing akan mengadakan perbincangan pada November ini untuk memahami kedudukan undang-undang kedua-dua negara berhubung hak untuk semakan semula itu.

Mengenai hasil jangka panjang, Lee berkata Johor telah membina loji air di sungai Johor di huluan kerja air PUB di Kota Tinggi, dan gabungan jumlah yang dikeluarkan oleh loji ini mungkin melebihi hasil mampan sungai.

Related Post:

Tags: