PH tidak ada salah, cuma masalah komunikasi kurang baik

Mahathir Mohamad yakin sekiranya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan hari ini, rakyat akan tetap memilih Pakatan Harapan (PH).

Pengerusi PH itu berkata, keyakinan itu sekali gus, menangkas dakwaan segelintir pihak bahawa PH akan kalah namun beliau mengakui kerajaan menghadapi masalah komunikasi terutamanya dalam isu agama dan kaum.

“Kita yakin menang walau ada yang kata akan kalah. Tapi kita percaya kalau bertanding hari ini boleh menang juga.

“Tidak ada siapa nak ambil balik Datuk Seri Najib sebab kita tahu dia ambil duit banyak, kita tidak ada ambil duit sebab kita tak curi duit,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Yayasan al-Bukhary di sini semalam

Menurutnya, mesyuarat hari ini mengenal pasti kekurangan kerajaan PH termasuk masalah komunikasi.

“Perbincangan berkisar berkenaan tuduhan bahawa sekarang ini PH sudah tidak disukai rakyat, kalau hari ini kita adakan pilihan raya, kita akan kalah.

“Kita dapati PH tidak ada kesalahan tapi ada masalah komunikasi yang kurang baik. Walaupun dalam banyak sidang media kita umumkan kejayaan yang dicapai PH, namun media lebih gemar bertanyakan soalan kontroversi, jadi kita sediakan kontroversi itu,” katanya.

Post Author: CoinCryptoNews